FARKHAN ‘THE SOUTHERN TIGER’ JUARA BRIDGERWEIGHT WBC ASIA


Petinju Johor, Farkhan Haron muncul juara Bridgerweight WBC Asia selepas menewaskan Yousof Manvandi, semalam | Sumber Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — Petinju dari Johor, Farkhan Haron muncul juara baharu kelas Bridgerweight WBC Asia selepas menewaskan Yousof Manvandi dari Turkiye, semalam.

 

Petinju negara dengan gelaran ‘The Southern Tiger’ mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam pertarungan utama Johor International Boxing Championship di Arena Larkin, semalam.

 

Kejayaan menewaskan Yousof ‘Darius The Great’ itu merupakan kemenangan bermakna buat Farkhan yang baharu sahaja kehilangan insan tersayang, ibunya baru-baru ini.

 

Farkhan menang dengan keputusan kiraan majoriti daripada tiga hakim dalam pertarungan yang turut disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen TV swasta.

 

Turut berkongsi kejayaan Farkhan dengan ucapan tahniah adalah EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

Menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya, beliau mahu kejayaan diraih oleh Farkhan atas semangat yang ditunjukkan menjadi ikutan kepada umum.

 

“Malam ini saya berkesempatan menyaksikan perlawanan Johor International Boxing Championship 2022 antara Peninju dari Johor, Farkhan Haron dan Yousof Manvandi daripada Turkiye di Stadium Tertutup Arena Larkin.

 

“Walaupun Farkhan baru sahaja kehilangan ibunya, tetapi semangat juang beliau sehingga berjaya dinobatkan sebagai Juara WBC Asia Bridgerweight harus diambil dan dijadikan contoh,” katanya.

 

Hadir sama menyaksikan pertarungan tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor