PEGAWAI KEWANGAN NEGERI BERSARA WAJIB AKHIRI KHIDMAT BAKTI


YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan pernah menjawat sebagai Setiausaha, Yang Dipertua dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (Dahulu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah). | Foto MDJ: Wira Anggara

 

Pegawai Kewangan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan mengakhiri khidmat baktinya, hari ini, apabila bersara wajib selepas 31 tahun dalam Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor.

 

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir pada 1 April 1992 di Pejabat Tanah Segamat dan kemudiannya telah diberikan tanggungjawab menggalas 13 jawatan lain di pelbagai jabatan.

 

Kenangan manis sukar dilupakannya adalah dikurniakan Darjah Kebesaran daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membawa gelaran Dato’ ketika COVID-19 melanda dunia.

 

Selain itu, beliau tidak dapat melupakan kenangan diberikan perkenan Baginda Tuanku Sultan untuk dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor.

 

Antara sejarah perkhidmatan lain yang turut dikenang adalah menjadi satu-satunya pegawai tadbir diberikan kepercayaan menggalas tiga jawatan berlainan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sama.

 

Beliau tidak dapat melupakan kenangan diberikan perkenan Baginda Tuanku Sultan untuk dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor.

 

YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan pernah menjawat sebagai Setiausaha, Yang Dipertua dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (Dahulu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah).

 

Malah pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji, kali pertama dalam sejarah perkhidmatan awam negeri ketika dirinya sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor juga tidak akan dilupakan.

 

Beliau menitipkan pesanan kepada warga perkhidmatan awam negeri agar sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan menimba lebih ilmu mempersiapkan diri mendepani cabaran masa kini dalam menggalas tugas serta tanggungjawab diamanahkan.

 

Terdahulu, Pegawai Kewangan Negeri Johor diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar dan menyempurnakan ‘Clock-Out’ terakhir yang turut dihadiri Pegawai Kanan serta Pegawai Tadbir Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor