PELABURAN BESAR JOHOR DIPACU TRANSFORMASI BAKAT, PEKERJAAN BERGAJI PREMIUM

YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor merangkap Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) pada Perasmian AIM Asia 2026. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Johor kini memasuki fasa baharu pembangunan agresif apabila kejayaan menarik pelaburan berskala besar akan diterjemahkan secara langsung menerusi penciptaan pekerjaan yang bergaji premium, sekali gus menjamin kesejahteraan Bangsa Johor.
Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri sedang memberi tumpuan bagi memastikan limpahan pelaburan bernilai RM110.1 bilion yang direkodkan sebelum ini akan benar-benar dirasai rakyat menerusi Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC) untuk membentuk ekosistem modal insan yang lebih strategik, tersusun dan berimpak tinggi.
Pendekatan ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan rangka kerja jelas untuk mengenal pasti bakat yang perlu dikekalkan serta bidang yang perlu dipertingkat melalui program ‘upskilling’ mengikut keperluan dan kehendak industri semasa.
Usaha peningkatan kemahiran ini tidak hanya tertumpu kepada bidang kecerdasan buatan (AI) semata-mata, sebaliknya ia turut merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan dan industri bernilai tinggi bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing.
Selain itu, penganjuran Sidang Kemuncak Inovasi Lanjutan & Pembuatan (AIM) Asia 2026 yang menghimpunkan pemain industri utama menjadi pemangkin kepada usaha Johor untuk terus menarik pelaburan berkualiti, kolaborasi inovasi serta pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor merangkap Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), menyampaikan ucaptama Perasmian AIM Asia 2026, di Hotel Amari, hari ini.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#GajiPremium
#JTDC
#JETCO
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


