PELABURAN BYTEDANCE BAWA MANFAAT JANGKA PANJANG


YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor bersama YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke ibu pejabat ByteDance di Beijing, China. | Foto Ihsan Facebook Lee Ting Han

 

Perancangan pemilik TikTok, ByteDance untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) utama di rantau ini dengan cadangan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 bilion mampu mengembangkan sektor ekonomi negara yang turut memberi limpahan kepada Negeri Johor.

 

Malah dengan cadangan ByteDance memperluaskan fasiliti pusat data sedia ada dengan pelaburan tambahan sebanyak RM1.5 bilion, Kerajaan Negeri percaya langkah itu bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dalam bidang teknologi, kejuruteraan, pengurusan data dan sokongan infrastruktur.

 

Pelaburan dalam infrastruktur digital seperti ketersambungan internet berkelajuan tinggi dan kestabilan bekalan tenaga akan mempercepatkan pembangunan infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di Negeri Johor seterusnya membantu menarik pelaburan dari syarikat-syarikat teknologi lain.

 

Berkongsi mengenai perkembangan tersebut, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor memaklumkan ByteDance juga komited bekerjasama dengan institusi tempatan bagi membangunkan kemahiran AI dalam kalangan pelajar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Dengan pengumuman berkaitan perancangan terperinci dijangka akan dibuat dalam masa terdekat, Kerajaan Negeri berharap komitmen ByteDance mewujudkan hab AI dan pusat data di negara ini membawa manfaat jangka panjang dan memberikan limpahan pembangunan termasuk mendorong kolaborasi berimpak tinggi bagi Johor dan Malaysia.

 

Terdahulu, Ting Han bersama YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengadakan lawatan ke ibu pejabat ByteDance di Beijing, China serta bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat.

 

Menerusi lawatan tersebut, delegasi Kerajaan Negeri mendapatkan taklimat cadangan pembangunan dan manfaat boleh diraih oleh syarikat-syarikat tempatan daripada pelaburan dibuat di negeri ini selain diperkenalkan dengan teknologi AI yang dibangun dan diguna pakai pihak ByteDance.

 

Antaranya, aplikasi ‘Lark’ yang menyediakan perkhidmatan terjemahan secara langsung semasa mesyuarat dan mengatasi kekurangan akibat perbezaan bahasa selain platform TikTok yang lebih efisien bagi pemasaran produk buat PKS.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor