PEMAIN INDUSTRI PERTANIAN DISERU TINGKAT PRODUKTIVITI


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada perasmian Karnival Agro Johor 2023 Daerah Muar, di Dataran Tanjung Emas. | Foto MDJ: Liyana Iwana.

 

MUAR — Pemain industri pertanian diseru menggembleng tenaga meningkatkan produktiviti bagi memastikan Johor terus menjadi pengeluar utama di negara ini.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kerajaan Negeri juga mahu menjadikan Johor sebagai bank dan bakul makanan kepada Malaysia serta negara serantau.

 

“Saya fikir bahawa kita (Johor) mempunyai peluang untuk meningkatkan produktiviti. Sebab itu saya hendak syorkan semua yang terlibat dalam sektor yang cukup penting ini, untuk cari kaedah untuk kita meningkatkan produktiviti.

 

“Tetapi pada masa sama, menurunkan kos untuk kita menghasilkan barang-barang. Ini saya yakin boleh dilakukan kalau semua pihak dapat bekerjasama,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Agro Johor 2023 Daerah Muar, di Dataran Tanjung Emas, di sini, pada Sabtu.

 

Hadir Sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan, Pengarah Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd dan Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.

 

Pada majlis berkenaan, turut diadakan penyampaian bantuan melibatkan nilai RM13.8 juta daripada jabatan dan agensi di bawah sektor pertanian.

 

Selain itu, Onn Hafiz menzahirkan keyakinan terdapat banyak usaha secara kolaborasi yang dilakukan oleh pelbagai pihak bagi membantu rakyat dan memajukan sektor pertanian pada masa kini.

 

“Kita sudah tidak boleh kerja dalam kepompong ataupun ‘silo’ masing-masing. Kita kena kerja sebagai satu pasukan. Sebab itu kita kena rebut peluang ini.

 

“Saya hendak bagi sokongan, semangat kepada pengusaha, petani dan peladang supaya kita sama-sama gembleng tenaga. Bekerjasama untuk memastikan usaha ini dapat dilaksanakan,” katanya.

 

Sementara itu, Zahari berkata, seramai 72 usahawan terlibat dalam mempromosikan produk agromakanan masing-masing di karnival berkenaan.

 

Ujarnya, Karnival Agro Johor Daerah Muar mensasarkan kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang dengan hasil jualan sebanyak RM400,000.

 

“Harapan saya, dengan adanya Karnival Agro Johor ini ia akan membuka minat dan minda kepada masyarakat keseluruhannya terutamanya bagi golongan muda untuk menceburi sektor agromakanan berasaskan pertanian,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor