PROJEK KOMUNITI DI HATI TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan menyalurkan peruntukan tambahan itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan diterima projek berkenaan. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI –– Kerajaan Johor meluluskan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan Projek Komuniti Di Hati (KDH).

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan menyalurkan peruntukan tambahan itu dibuat berikutan sambutan menggalakkan diterima projek berkenaan.

 

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta pada tahun 2023, bagi pelaksanaan Projek Komuniti Di Hati (KDH), di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

 

“Projek Komuniti Di Hati merupakan projek serampang dua mata yang memberi bantuan makanan kepada golongan sasar, serta membantu dalam peningkatan pendapatan ibu tunggal,” katanya di laman Facebook rasminya, pada Jumaat.

 

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Keluarga Johor Daerah Kluang 2023, di Sekolah Kebangsaan Sungai Linau, Simpang Renggam.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar Pegawai Daerah Kluang, Mohd Rafi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Noor Faezah Md Esa.

 

Onn Hafiz berkata, peruntukan tambahan itu juga bertujuan menaikkan bantuan makanan daripada 300 pek kepada 500 pek makanan, untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Layang-Layang.

 

“Semoga segala yang dirancang oleh Kerajaan Negeri serta YPKDT, akan mampu memudahcara serta membantu golongan sasar yang memerlukan, agar hasrat untuk mencapai tahap sifar miskin tegar menjelang tahun 2027 mampu dicapai. Insya-Allah,” ujarnya.

 

Sementara itu, beliau turut merasmikan Dewan Al Jazari SK Sungai Linau yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2022 membabitkan peruntukan sebanyak RM444,000.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor