PEMASANGAN LANDASAN DEPOH WADI HANA KINI 65 PERATUS

Kerja pembinaan bagi projek Sistem Rapid Transit (RTS Link) kini mencapai tahap kemajuan lebih 65 peratus. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru — Kerja pembinaan bagi projek Sistem Rapid Transit (RTS Link) yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berjalan lancar dan mengikut perancangan jadual yang ditetapkan dengan pemasangan trek landasan di Depoh Wadi Hana kini mencapai tahap kemajuan lebih 65 peratus.
Kerja pemasangan berkenaan dilaksanakan oleh RTS Operations Sdn. Bhd (RTSO) mengikut jadual yang melibatkan kerja pemasangan landasan rel meliputi laluan sepanjang 5.3 kilometer (KM) ke Stesen Bukit Chagar dan ia juga akan melalui jejambat landasan sebelum bersambung ke Stesen Woodlands North di Singapura.
Selain itu, kerja pemasangan sistem lain yang berkaitan projek berkenaan seperti pembekal kuasa landasan, sistem isyarat dan komunikasi akan bermula pada bulan depan dan ia akan dilakukan secara berperingkat, manakala kerja pemasangan landasan ke Singapura pula dijangka siap menjelang bulan Julai depan.
Projek berimpak tinggi RTS Link dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026 di mana ia akan merangkumi jarak 2.7 KM di Malaysia serta 1.3 KM di Singapura itu diyakini mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan, sekali gus dapat mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian serta mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.
Terdahulu, YBrs Dr. Ahmad Marzuki Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif RTSO, bersama YBrs. Zahrin Abdul Gani, Pengarah Projek RTSO mengetuai sesi taklimat Projek RTS Link bersama media dan lawatan tapak ke Depoh Wadi Hana di sini, hari ini.
#RTSLink
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor