PEMBANGUNAN LADANG MENEGAK FARMBYTE-ARCHISEN DI FASA AKHIR


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan pertemuan dengan Archisen Pte. Ltd. | Foto Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Projek Pembangunan ‘Smart Indoor Vertical Farm’ melibatkan kerjasama anak syarikat Johor Corporation (JCorp), FarmByte Sdn. Bhd. dengan syarikat dari Singapura, Archisen Pte. Ltd. bakal mula beroperasi April ini.

 

Melibatkan nilai pelaburan berjumlah kira-kira RM38 juta, projek yang memfokuskan kepada sayur-sayuran premium seperti salad, ‘ice plant’ dan sawi dengan sasaran pengeluaran 306,000 kilogram setahun itu kini dalam fasa akhir pembinaan.

 

Pembangunan fizikal projek ladang menegak ‘indoor’ pintar seluas 50,000 kaki persegi di Iskandar Puteri itu telah bermula Ogos 2024 dan memerlukan 15 staf untuk memulakan operasi sebelum pelancaran dijangka dibuat pada Mei ini.

 

Pengeluaran hasil dari ladang yang merupakan salah satu projek ‘highlight’ di bawah ‘flagship’ Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) itu adalah untuk pasaran tempatan dan eksport dengan anggaran nisbah 70:30.

 

Jalinan kerjasama FarmByte bersama Archisen yang menjalankan perusahaan pertanian secara moden dan lestari itu selari hasrat Kerajaan Negeri memperkasa agenda Keterjaminan Makanan yang merupakan salah satu sektor utama dalam JS-SEZ.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan pertemuan dengan Archisen yang turut melihat potensi kerjasama Johor Biotech dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) agromakanan.

 

#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor