PENDIDIKAN UNGGUL MAMPU TANGANI ISU KERAPUHAN PERPADUAN – PIBGN


 

Gambar hiasan. 

 

Perilaku negatif seperti perkauman, penghinaan agama, kes buli dan sebagainya sama sekali tidak akan berlaku sekiranya soal perpaduan ini dapat disemai dan diserapkan secara menyeluruh di peringkat sekolah lagi.

 

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan ‘perimeter’ perpaduan ini akan mencakupi seluruh bangsa yang terdapat di negara ini tanpa terkecuali.

 

“Pada asasnya, saya menyambut baik saranan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sebelum ini menekankan bahawa perlu ada satu kesedaran, keinsafan dan pendidikan yang sebenar-benarnya (akademik dan pembangunan sahsiah). Memahami apa orang kata… hati budi dan nurani setiap bangsa yang terdapat bukan sahaja di Johor tetapi di Malaysia.

 

“Sebab itu, saya rasa mungkin semangat perpaduan, semangat mengambil tahu, semangat ambil peduli ini hanya berlaku di luaran sahaja… tidak dari dalam (jati diri seseorang individu). Sebab itu ada di antara mereka menyalahgunakan kebebasan yang diberikan oleh negara (Perlembagaan) atau pemerintah hingga disalah tafsir secara sempit,” katanya kepada Media Digital Johor.

 

Mohamad Ali berkata, selain itu pihak luar seperti ibu bapa, penjaga dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing terutama dalam membentuk semangat perpaduan dalam diri anak-anak kerana mereka adalah pendidik pertama bagi keluarga masing-masing.

 

“Ibu bapa perlu menjadi ‘role model’ untuk membimbing, menghayati, memberi maklumat sebenar supaya ia tidak disalah tafsir, salah guna atau salah penghayatan yang tidak baik untuk perpaduan. Keinsafan ini perlu dilakukan secara total dan dibuat secara komprehensif.

 

“Saya juga menyanjung tinggi saranan DYAM Tunku Mahkota Ismail bahawa perkara ini perlu diterapkan dan dihayati bukan diperingkat sekolah saja tetapi mestilah bermula dari awal iaitu di peringkat ‘kindergarten’ (pendidikan awal kanak-kanak) lagi dan perlu mendapat kerjasama erat dari semua pihak seperti ibu bapa, anggota serta pemimpin masyarakat, PIBG, alumni sekolah dan sebagainya,” katanya.

 

Selain itu, Mohamad Ali turut mencadangkan supaya aspek kesihatan terutama berkaitan mental turut diberikan penekanan kerana ia turut boleh merencatkan usaha memperkasakan perpaduan di negara ini kelak.

 

Katanya, pihaknya juga khuatir isu masalah kesihatan mental yang tidak rapi akan boleh menganggu-gugat keharmonian dan perpaduan kaum menerusi tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.

 

Pada 2016, Tunku Mahkota Ismail pernah menyuarakan hasrat kepada Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan modul pendidikan yang perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor ini. Ia akan membolehkan setiap individu akan diajar sejak dari kecil bagaimana untuk bersatu, menghormati agama, bangsa dan kaum-lain untuk hidup sebagai Bangsa Johor.

 

Malah iltizam Baginda Pemangku Sultan Johor ini turut diperluaskan lagi menitahkan supaya sayap Southern Volunteers (SV) turut diperluaskan ke peringkat sekolah di seluruh Johor supaya SV akan menjadu budaya dalam aktiviti kesukarelawan yang berindentitikan belia bangsa Johor.

 

Malah, Kerajaan Negeri sangat memberi fokus terhadap sektor pendidikan apabila turut memperkenalkan pelaksanaan Kelas Bestari Bangsa Johor yang merupakan insiatif kerajaan bagi memperhebat keberkesanan sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Malah inisiatif turut mendapat sokongan Institusi DiRaja Johor apabila beberapa yayasan DiRaja seperti Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang telah menyumbang papan pintar ini bagi menyokong daya usaha kerajaan negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor