PENERIMA BIASISWA ORANG MUDA JOHOR MELANGKAH MASUK UNIVERSITI TERKEMUKA DUNIA

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap penerima Biasiswa Orang Muda Johor iaitu Muhammad Fauzi Syahmi bin Mohd Zain, Laxmann A/L Muralitharan dan Lee Chong Ming. | Foto FB HRH Crown Prince of Johor

 

#IskandarPuteri – Tiga penerima Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) 2023 berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia bertepatan dengan penekanan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terhadap kepentingan pendidikan berkualiti untuk anak Bangsa Johor.

 

Muhammad Fauzi Syahmi Mohd Zain berasal dari Tangkak yang memperoleh keputusan cemerlang meraih dua gred A* dan dua A dalam Peperiksaan Antarabangsa Cambridge (A-Levels) akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Bahan di Columbia University, Amerika Syarikat, sebuah universiti Ivy League dan antara institusi pendidikan tinggi terbaik dunia.

 

Selain itu, M. Laxmann berasal dari Johor Bahru yang memperoleh keputusan cemerlang meraih tiga gred A* dan satu A dalam Peperiksaan Antarabangsa Cambridge (A-Levels) serta menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Dunia (Top in the World) dengan markah 100 peratus untuk subjek Matematik akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi di Imperial College London.

 

Manakala Lee Chong Ming berasal dari Batu Pahat yang juga memperoleh keputusan cemerlang meraih empat A* dalam Peperiksaan Antarabangsa Cambridge (A-Levels) pula akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia di Imperial College London sekali gus melengkapkan ketiga-tiga penerima kohort pertama BOMJ ke universiti terbaik dunia.

 

BOMJ merupakan inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dalam bentuk biasiswa penuh kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat A-Level seterusnya Ijazah Sarjana Muda di universiti terkemuka dunia sebagai asas membina masa depan cemerlang anak Bangsa Johor.

 

Kerajaan Negeri menyifatkan pencapaian mereka bukan sahaja amat membanggakan bagi seluruh Bangsa Johor malah turut menjadi bukti bahawa anak Johor mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar terbaik dunia sekali gus akan kembali membawa pulang ilmu, pengalaman dan jaringan global demi memacu kemajuan negeri pada masa hadapan.

 

#BiasiswaOrangMudaJohor
#BOMJ
#JohorHomeOfChampions
#JohorLeads
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor