PENYELIAAN JAS DIPERKASA, ELAK INSIDEN SUNGAI KIM KIM BERULANG


YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor yang kini memegang portfolio alam sekitar. | Foto ihsan Facebook Ah Soon

 

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor akan terus memperkasa penyeliaan dan meningkatkan kesedaran bagi memastikan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang tidak berulang pada masa hadapan.

 

Komitmen tersebut dizahirkan oleh YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor selepas mengadakan pertemuan bersama warga JAS Negeri Johor.

 

Beliau yang kini memegang portfolio alam sekitar memaklumkan sudah mengadakan perbincangan mengenai aktiviti dan tindakan susulan bagi memastikan kualiti air sungai di negeri ini dapat dipertingkatkan.

 

Selain itu, pemilik industri dan orang ramai turut diseru untuk bertanggungjawab dan bersama memainkan peranan bagi memastikan kebersihan alam sekitar terus terpelihara.

 

Pada masa sama, Tian Soon memberitahu satu jawatankuasa khas antara agensi sudah ditubuhkan atas saranan Kerajaan Negeri dan akan bermesyuarat secara berkala.

 

Mesyuarat berkenaan antara lain bagi memastikan Pihak Berkuasa Tempatan, JAS dan agensi berkaitan dapat bekerjasama dalam menangani isu yang berbangkit secara bersama.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor