SOKONG PENCALONAN CHINGAY SEBAGAI WARISAN BUDAYA DUNIA


Kerajaan Negeri mengiktiraf sambutan Perarakan Chingay yang sangat sinonim dengan masyarakat berbilang bangsa di Johor.

 

Usaha mencalonkan Perarakan Chingay kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) disambut baik oleh masyarakat Tiong Hua Negeri Johor.

 

YBhg. Ho Sow Tong, Presiden Persekutuan Tiong-Hua Johor Baru menghargai komitmen Kerajaan Negeri yang disifatkan sebagai pengiktirafan kepada perarakan yang cukup sinonim dengan negeri ini.

 

Perarakan Chingay amat bermakna dan signifikan kepada masyarakat Tiong-Hua kerana keaslian budayanya yang sangat terpelihara di Malaysia, tidak dapat ditandingi negara lain di Asia Tenggara.

 

Pencalonan kepada UNESCO itu diyakini mempunyai peluang yang cerah memandangkan Jabatan Warisan Negara telah mengiktiraf perarakan berkenaan sebagai warisan budaya negara pada tahun 2012.

 

Justeru, Perarakan Chingay berusia lebih seabad itu wajar diiktiraf oleh UNESCO apatah lagi keunikannya melibatkan lima dialek Tiong Hua iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew.

 

Lazimnya, Perarakan Chingay disambut bermula hari ke-19 hingga hari ke-22 Tahun Baharu Cina setiap tahun, mengetengahkan persembahan kebudayaan yang menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor