PERANCANGAN STRATEGIK BANGUNKAN BANDAR PINTAR


Pusat kawalan operasi bersepadu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Negeri Johor berada di dalam landasan tepat bagi mempergiatkan hasrat menjadi peneraju transformasi bandar pintar negara menerusi Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 yang disifatkan sebagai perancangan holistik dan komprehensif.

 

Pelan induk yang dilancarkan pada Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 merupakan langkah positif yang turut disahut oleh kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi melaksanakan komponen digariskan secara perlahan, ‘quick win’ dan pertengahan.

 

Malah, dua PBT berjaya mencapai status sebagai ‘early adopter’ atau melepasi tahap awal daripada empat kriteria untuk dikenal pasti sebagai bandar pintar iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) hasil daripada pelan tindakan yang dilaksanakan.

 

Antara indikator utama untuk diiktiraf sebagai bandar pintar tahap awal ialah mempunyai pusat kawalan operasi bersepadu bagi meningkatkan tahap pemantauan di kawasan pentadbiran masing-masing, penggunaan lampu isyarat serta lampu jalan pintar dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

 

Selain MBJB dan MPBP, usaha turut digerakkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Daerah Tangkak bagi mencapai status bandar pintar sekali gus menjadi contoh kepada bandar lain di Malaysia.

 

Justeru, PLANMalaysia@Johor berkeyakinan pelan tindakan menyeluruh serta hala tuju jelas yang sedang dibangunkan oleh setiap PBT mencerminkan negeri ini sedang bergerak ke arah menjadi bandar pintar yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor