PERBINCANGAN POSITIF PEMBINAAN HSA2 : MENTERI KESIHATAN


Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kedua-dua kementerian sudah mengambil maklum mengenai keperluan pembinaan HSA2 selain turut memahami kepentingan kesihatan yang perlu diutamakan. | Foto MDJ Saufi Razale

JOHOR BAHRU — Perbincangan isu pemilikan tanah dicadangkan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berjalan lancar dan positif.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kedua-dua kementerian sudah mengambil maklum mengenai keperluan pembinaan HSA2 selain turut memahami kepentingan kesihatan yang perlu diutamakan.

“KKM sedang memperhalusi keperluan pembinaan hospital baharu di Johor, lebih-lebih lagi kerana disebabkan pertambahan penduduk, peningkatan kes-kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dan beberapa faktor lain.

“Pihak MINDEF juga sudah mengambil maklum dan sedang melihat kesesuaian tanah untuk pembangunan hospital. Kita akan teruskan perbincangan yang dijangka mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan (jika selesai), kita tidak ada masalah (untuk pembinaan HSA2),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Fasiliti Kesihatan di Hospital Sultanah Aminah, hari ini.

Kerajaan Johor komited dalam memperjuangkan pembinaan HSA2 yang dijangka dapat mengatasi isu peningkatan kadar penggunaan katil serta kesesakan di HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Jumaat lalu, memberitahu pembinaan hospital baharu itu disifatkan sebagai sangat diperlukan dan diharapkan dapat diselesaikan pada kadar segera.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor