JOHOR TERIMA TIGA FASILITI KESIHATAN BAHARU


Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kesemua fasiliti itu adalah Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Klinik Kesihatan (KK) Skudai Baru di Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan (KK) Felda Palong Timur di Segamat. | Foto MDJ Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Tiga fasiliti kesihatan baharu melibatkan kos keseluruhan RM73.5 juta siap dibina dan bakal beroperasi dalam masa terdekat, mampu memberi nilai tambah kepada perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kesemua fasiliti itu adalah Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Klinik Kesihatan (KK) Skudai Baru di Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan (KK) Felda Palong Timur di Segamat.

 

“Sukacita saya maklumkan bahawa KK Felda Palong Timur akan mula beroperasi pada hari esok sementara Makmal Patologi HSA dan KK Skudai Baru akan beroperasi pada minggu kedua bulan Julai.

 

“Justeru, saya berharap agar kesemua ini dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif dan berkesan,” kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Fasiliti Kesihatan di HSA, di sini, hari ini.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Norazman Ayob dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut.

 

Zaliha berkata, Makmal Patologi HSA dilengkapi dengan unit Makmal Patologi Kimia, Makmal Mikrobiologi, Hematologi dan Patologi Anatomi yang dapat membantu meningkatkan dan mempercepatkan hasil keputusan makmal.

 

“Makmal Patologi ini serba canggih dan mampu untuk memberi perkhidmatan yang berkesan khususnya mempercepatkan proses bagi mendapatkan keputusan ujian makmal kepada pesakit-pesakit. Kerajaan juga telah meluluskan kira-kira 56 perjawatan tambahan bagi membantu pengoperasian makmal ini,” katanya.

 

Bagi KK Skudai Baru, ujar beliau, klinik gantian bagi fasiliti yang beroperasi di bangunan rumah kedai sebelum ini, berupaya memberi keselesaan dan mampu menampung seramai 500 hingga 800 pesakit sehari.

 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan ucapan terima kasih kepada KKM khususnya Menteri Kesihatan atas perbincangan bersama Kerajaan Negeri mengenai isu kesihatan di negeri ini.

 

Selain mengucapkan tahniah atas penyerahan tiga fasiliti kesihatan baharu, beliau turut menyampaikan perkara lain untuk diberikan penekanan iaitu kekurangan staf, penambaikan infrastruktur dan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).

 

“Insya Allah, KKM akan memperhalusi dan mempertimbangkan permasalahan di Johor agar mutu serta kualiti kesihatan bertambah baik.

 

“Semoga kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang berterusan dapat menyelesaikan isu-isu berbangkit serta terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Johor,” katanya dalam Facebook rasminya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor