PERCAYA KEBIJAKSANAAN JURULATIH ATUR LATIHAN : EXCO SUKAN JOHOR
ISKANDAR PUTERI — Perancangan latihan melibatkan atlet Johor tidak terjejas dalam keadaan berpuasa bagi mengekalkan prestasi sepanjang bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menzahirkan kepercayaan terhadap kebijaksanaan barisan kejurulatihan dalam mengatur program latihan agar para atlet dapat mengekalkan stamina serta prestasi di bulan yang mulia ini.
“Saya tegaskan, banyak mata yang memerhati tindak tanduk ‘Sang Juara’ dan tidak kurang juga yang berkunjung ke Johor bagi melihat dan bertukar pandangan dengan kaedah serta formula yang Johor gunakan.
“Pastinya, persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak telah bermula dan giat dilaksanakan ketika ini. Doakan semua persiapan atlet berada pada tahap maksimum dan dapat memberikan saingan serta kompeten mempertahankan kejuaraan yang dikecapi tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Atlet dan Jurulatih Negeri Johor 1444H/2023M berlangsung di Velodrome Johor, di sini, semalam.
Majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) itu menghimpunkan lebih 100 atlet dan jurulatih di negeri ini, untuk berbuka puasa bersama Mohd Hairi dan pimpinan MSNJ.
Pada majlis berkenaan, beliau meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada atlet-atlet yang hadir serta menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor