MAJLIS IFTAR JAMAIE SANTUNI ANAK YATIM


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani bersama isteri beliau yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor, Puan Sri Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff hadir menyempurnakan Majlis Iftar Jamaie Anak-Anak Yatim di Pusat Perniagaan B5 Street Market di sini, semalam.

 

JOHOR BAHRU — Seramai 150 anak yatim dari lima pusat jagaan dan sekolah dari sekitar daerah Johor Bahru diraikan dalam Majlis Iftar Jamaie Anak-Anak Yatim di Pusat Perniagaan B5 Street Market di sini, semalam.

 

Program anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Johor dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Johor (BPK-JAINJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Damansara Asset dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) itu bertujuan menyantuni anak yatim sempena bulan Ramadan.

 

Majlis disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani. Turut hadir ialah isteri beliau yang juga Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Johor, Puan Sri Datin Dr Noor Azizah Abdul Latiff.

 

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), YB Dato’ Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Dato’ On Jabbar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat), Shubanah Yusuf.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani turut meluangkan masa menyantuni anak yatim berkenaan dengan menaja kelengkapan pakaian baharu sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Ia adalah sumbangan daripada rakan strategik program berkenaan yang terdiri MAINJ, Damansara Asset, PUSPANITA Cawangan Negeri Johor dan PIJ.

 

Turut menghulurkan sumbangan ialah Waqaf An Nur Corporation, Ranhill SAJ, YPJ Holdings, Pertubuhan Qurra Negeri Johor, Dynac Sdb Bhd, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB), Iqbal Salam & Associates, Yayasan Sayang Mutiara dan Honda Yong Ming.

 

Pada majlis sama, beliau juga turut mengambil kesempatan untuk menghulurkan sumbangan ‘duit raya’ kepada anak yatim berkenaan bagi membolehkan mereka menyambut lebaran dengan lebih sempurna dan meriah.

 

#MediaDigitalJohor
#sahihTepatPantas
#MajuJohor