PERDANA MENTERI UCAP TAHNIAH KEPADA KERAJAAN NEGERI


YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri menyantuni Bangsa Johor pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kejayaan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengurus seterusnya memacu kemajuan dan pembangunan negeri dengan baik mendapat pengiktirafan daripada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

 

Malah beliau berkeyakinan dengan pelaksanaan beberapa agenda penting termasuklah Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City, menjadi petanda Negeri Johor akan mencatatkan pertumbuhan lebih pesat daripada negeri-negeri lain dalam tempoh setahun dua ini.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu pembangunan seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini, diberikan keutamaan seterusnya memastikan projek berkenaan berjalan dengan cepat dan lancar supaya dapat meredakan masalah dihadapi oleh rakyat.

 

Sementara itu, Menteri Besar Johor mewakili Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan sejumlah 510 projek pembangunan berimpak tinggi melibatkan RM4.7 bilion untuk Negeri Johor dalam tempoh masa dua tahun ini.

 

Antaranya, menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan, projek RTB, menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan pembinaan HSA 2, menaik taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta cadangan projek penyuraian trafik dan naik taraf pengangkutan awam.

 

Sokongan dan keprihatinan Perdana Menteri terhadap usaha Kerajaan Negeri merealisasikan sasaran sifar miskin tegar turut dihargai malah komited mengekalkan hubungan baik bersama Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia amnya.

 

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Johor meluangkan masa kira-kira lebih sejam menyantuni ribuan Bangsa Johor pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Johor di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall.

 

Hadir sama, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Ahli-Ahli Jemaah Menteri serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di peringkat Negeri dan Persekutuan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor