PERNAH GAGAL BUKAN ALASAN BERHENTI MENJADI PENTERNAK
Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak, itulah yang dapat digambarkan mengenai semangat perjuangan dua sahabat usahawan ternak yang tidak pernah kenal erti putus asa walaupun satu ketika perniagaan mereka hampir jatuh disebabkan oleh faktor tertentu.
Itulah teladan yang ditunjukkan Borhanuddin Samsudin, 32 dan Muhammad Firdaus Marju, 40 yang tetap mencekalkan diri mereka dalam menguruskan perniagaan ternakan ayam dan kambing di FELDA Lok Heng.
Mengimbau kembali saat kepulangannya ke kampung halaman, Borhanuddin berkata beliau nekad untuk memulakan bisnes ternakan ayam dan kambing pada 2018 selepas lima tahun berada di luar Johor untuk mencari rezeki dan menimba pengalaman hidup.
Katanya, perniagaan yang baharu sahaja dimulai itu kemudiannya berhadapan cabaran terbesar apabila negara dilanda pandemik Covid-19 hingga menyebabkan bisnes ternakan ayamnya hanya mampu bertahan selama setahun sahaja.
Ia disebabkan mereka terputus bekalan ubatan ternakan sehingga terpaksa membuatnya sendiri menggunakan bahan-bahan tradisional. Bagaimanapun, ujian itu tidak mematahkan semangat anak jati FELDA Lok Heng Timur ini untuk terus memperjuangkan bisnes ternakan kambingnya hingga ke hari ini.
Dari sisi lain, Muhammad Firdaus Marju, yang juga merupakan rakan kongsinya memaklumkan, permintaan bekalan daging kambing keluaran perniagaan mereka juga semakin hari semakin bertambah terutama sekali ketika menjelang hari perayaan. Contohnya Aidiladha tahun lalu, mereka berjaya menjual 30 ekor kambing dalam tempoh tiga hari sahaja dan ianya dikira sebagai salah satu kejayaan terbesar buat usahawan tani ternak berskala kecil seperti mereka.
Secara jujurnya, kedua-dua sahabat usahawan ternak itu pernah terfikir untuk berhenti namun sokongan moral yang diberikan oleh ahli keluarga dan juga rakan-rakan menjadi dorongan buat mereka berdua untuk terus berjuang merealisasikan impian menjadi antara pembekal daging kambing utama di seluruh Malaysia terutama di Negeri Johor.
Borhanuddin dan Muhammad Firdaus juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan berbentuk mesin pencincang makanan ternakan berjumlah RM3,500 yang diterima melalui Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) pada tahun ini, sekali gus membolehkan perniagaan ternakan mereka dapat berkembang dengan lebih baik pada masa akan datang.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor