TEKAD MAHU LUASKAN EMPAYAR PERNIAGAAN


Nor Hairul Amri Noordin, 31, bergambar di hadapan bengkel motor milik beliau yang terletak di Jalan Besar, Gugusan FELDA Bukit Waha. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Siapa sangka dengan hanya sedikit bantuan daripada kerajaan ia dapat membantu seseorang memajukan dirinya sehingga menjadi antara usahawan yang berjaya.

 

Itu yang dialami oleh Nor Hairul Amri Noordin, 31, anak jati gugusan FELDA Bukit Waha juga seorang usahawan belia mahir yang kini bertekad untuk meluaskan lagi empayar perniagaannya ke cawangan lain sebagai usaha membantu penduduk setempat.

 

Menceritakan kisah awal mula perniagaan, Nor Hairul Amri memberitahu sebaik sahaja permohonan bagi Bantuan Peralatan Perniagaan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) diluluskan, ia menjadi titik tolak yang mengubah kehidupan perniagaannya selepas menerima bantuan berjumlah RM3,500 daripada agensi tersebut.

 

Katanya, bantuan yang diterima itu berbentuk aset yang sangat diperlukan merangkumi mesin kompresor, jet hidraulik dan mesin string rim. Ia sedikit sebanyak membantu memudahkan proses membaiki motor pelanggan yang memerlukan kepakarannya di bengkel yang terletak di Jalan Besar, Gugusan FELDA Bukit Waha.

 

Hairul Amri yang mempunyai minat mendalam terhadap kemahiran automotif sejak kecil telah memulakan perusahaan aktiviti automotif sejak tahun 2019 dan ia juga turut mendapat sokongan penuh daripada isterinya untuk terus berbakti membaiki motosikal penduduk kampung.

 

Bapa kepada tiga orang anak itu pernah mendapat tempat pertama dalam kategori Terbaik Klasik (Motorshow) sempena Program Ramah Mesra PDRM Johor Daerah Kota Tinggi pada tahun 2023 apabila motor jenis Honda C70 milik pelanggannya telah diberi wajah baharu.

 

Justeru, beliau menyeru golongan belia tempatan untuk tidak mengalah dan digalakkan untuk memohon mana-mana bantuan dari Kerajaan untuk dijadikan sebagai modal awal memulakan perniagaan atau bantuan lain yang boleh membantu mempermudah urusan perusahaan dan seterusnya mengembangkan lagi bisnes pada masa depan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor