PERTUMBUHAN EKONOMI JOHOR PACU ALIRAN TRAFIK PENERBANGAN


Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS)

 

Peningkatan sebanyak 37.5 peratus pergerakan penumpang ke pintu masuk negeri ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) mencerminkan pertumbuhan ekonomi kukuh dan agenda pembangunan pelancongan yang konstruktif di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Pencapaian signifikan tersebut bagi Kennedy Ayu, Ketua Pegawai Eksekutif LTAS adalah disebabkan infrastruktur moden disediakan Kerajaan Negeri dan kepelbagaian landskap ekonomi disokong sektor pembuatan dan perkhidmatan yang kukuh sekali gus menyumbang kepada peningkatan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik.

 

Selain itu, LTAS juga menyuarakan keyakinan trend positif tersebut akan membawa limpahan pertambahan pelaburan langsung asing dan domestik ke negeri ini terutamanya melalui usaha progresif bagi meningkatkan lagi kekerapan penerbangan serta pembukaan laluan baharu.

 

Setakat 26 Ogos lalu, trafik penumpang udara antarabangsa mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 207 peratus berbanding tahun 2023, manakala penumpang domestik berada pada kadar 77 peratus seperti sebelum penularan Covid-19 menyerlahkan pemulihan dan pertumbuhan ketara sektor penerbangan di negeri ini.

 

Pihak pengurusan LTAS turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Johor atas usaha cemerlang menerusi pelaksanaan dasar yang mesra pelabur bagi menarik lebih banyak syarikat asing sekali gus menjadi faktor penting dalam memacu pertumbuhan dan kemakmuran negeri.

 

Justeru, LTAS akan terus memainkan peranan utama sebagai pintu masuk penerbangan untuk wilayah Selatan dan Iskandar Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan penting dan selesa bagi memenuhi keperluan kumpulan pelancong dan pelaburan.

 

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telah menjalani kerja-kerja pembesaran melibatkan peruntukan hampir RM12 juta bagi kawasan Balai Berlepas baharu yang dilengkapi lima pintu berlepas, tempat duduk tambahan, laluan penumpang berbumbung dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang siap Ogos tahun lalu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor