SULTAN JOHOR ZAHIR TERIMA KASIH KEPADA PERDANA MENTERI


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

 

Titah baginda Tuanku Sultan, ucapan tersebut dizahirkan kerana telah mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Belanjawan 2023.

 

“Untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong.

 

“Kerajaan Pusat juga akan menyediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang merupakan satu-satunya lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol,” titah Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Sultan Johor bertitah, berharap agar bajet pembaikan jalan persekutuan akan disalurkan untuk membaiki Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru ke Mersing yang berlubang serta berbahaya kepada pengguna.

 

Sultan Ibrahim juga menyahut baik cadangan Kerajaan Persekutuan bagi mewujudkan ‘Zon Khas Kewangan’ di kawasan Iskandar Malaysia yang akan menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

 

“Dengan sokongan dan kerjasama yang padu antara kerajaan negeri dan persekutuan, saya percaya Johor akan maju membangun dan semua rakyatnya akan kecapi hidup sejahtera,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

Selain itu, Sultan Johor menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya meletakkan semula kedudukan negeri Johor di tangga nombor satu bagi pelaburan tertinggi yang diluluskan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

 

“Namun begitu, nilai pelaburan yang diluluskan ini belum lagi terlaksana projeknya.

 

“Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama memberikan perkhidmatan yang cekap tanpa ada ‘red tape’ supaya pelabur boleh memulakan perniagaan mereka dengan segera. Jangan melambat-lambatkan segala urusan kerajaan,” titah baginda Tuanku Sultan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor