PIRATES JOHOR MUNCUL JUARA KEJOHANAN SOFBOL TERBUKA MELAKA
ISKANDAR PUTERI — Pasukan Sofbol Negeri Johor, Pirates Johor mencipta sejarah tersendiri selepas berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sofbol Terbuka Melaka buat kali ketiga berturut-turut pada minggu lalu.
Pasukan Pirates Johor berjaya mengalahkan lawan dari Kuala Lumpur, Banturaz dengan kiraan larian 1-0 dalam perlawanan akhir sekali gus dinobatkan sebagai juara.
Presiden Pirates Johor, Abd Afiq Abd Wahab, berkata kejayaan tersebut tidak dijangka memandangkan terdapat pasukan yang menggunakan pemain import dalam pertandingan tersebut.
“Alhamdulillah, kita sekali lagi dapat mempertahankan kejuaraan. Ia tidak dijangka (menjadi juara) kerana banyak pasukan telah menggunakan pemain import.
“Perlawanan akhir menentang Banturaz itu memang sengit tetapi para pemain saya berjaya fokus hingga ke akhir permainan,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor, hari ini.
Abd Afiq yang juga Setiausaha Persatuan Sofbol Negeri Johor menambah, membawa semangat di Melaka, Pirates Johor akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi cabaran kejohanan akan datang yang dijadualkan di Selangor pada Julai depan.
“Kita juga sedang dalam perancangan menganjurkan satu kejohanan berskala agak besar. Kita nak ajak pasukan-pasukan dari luar negara untuk menyertainya kerana persatuan telah diberikan geran sebanyak RM50,000 dari Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
“Sebenarnya ramai pengikut sukan sofbol di Johor. Tetapi, kekurangan penganjuran pertandingan besar menyebabkan ramai yang tidak tahu atau tidak mempunyai maklumat yang cukup berkaitan sukan ini,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor