DTRC SEGAMAT FASILITI KITAR SEMULA PANDU LALU KEDUA DI JOHOR


Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Segamat menjadi fasiliti kedua diwujudkan di negeri ini, bagi memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula secara kaedah pandu lalu. | FOTO IHSAN, FB Majlis Perbandaran Segamat.

 

ISKANDAR PUTERI — Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) Segamat menjadi fasiliti kedua diwujudkan di negeri ini, bagi memudahkan masyarakat menghantar barangan kitar semula secara kaedah pandu lalu.

 

Perasmian DTRC tersebut yang terletak di Bangunan Astaka Bola Sepak, Jalan Li Chi, Kampung Abdullah, Segamat itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria, hari ini.

 

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin; Ketua Whip MPS, Rahana Mohamed; Penghulu Mukim Segamat, Ishak Abu Bakar serta Ketua Masyarakat Kampung Abdullah, Jesie Lim.

 

Memetik siaran dimuat naik dalam Facebook MPS, DTRC Segamat diwujudkan sebagai usaha memperkasakan pembudayaan amalan kitar semula dan pengasingan sisa di kalangan masyarakat melalui aktiviti ‘Trash To Cash’.

 

“Sejak memulakan operasi pada 13 Mei 2023 yang lalu, DTRC ini telah menerima sebanyak 282 kilogram barang kitar semula dengan nilai RM153.80.

 

“DTRC ini menerima hampir 25 jenis barang boleh dikitar semula mengikut kategori antaranya seperti kertas, plastik, besi, kotak kadbod, tin aluminium termasuk minyak masak terpakai,” jelas MPS dalam siaran tersebut.

 

Kewujudan DTRC Segamat itu diharapkan dapat dimanfaatkan serta menarik minat masyarakat membudayakan amalan kitar semula sekali gus menyumbang peningkatan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025.

 

Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi ‘Pocket Talk’, pertandingan pemgumpulan Barang Kitar Semula Terberat, Minyak Masak Terpakai Terberat serta Fabrik Terpakai Terberat.

 

Terdahulu, DTRC pertama diwujudkan di negeri Johor terletak di Mersing yang diperkenalkan dan beroperasi pada Mac lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor