POLIS JOHOR LULUS 297 PERMIT, DUA KERTAS SIASATAN DIBUKA


Kenyataan media polis johor mengenai kelulusan permit untuk pilihan raya umum ke15 / Foto Ihsan Polis Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor meluluskan sebanyak 297 permit yang dipohon oleh parti politik bagi aktiviti kempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 15.

Jurucakap Media PRU 15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata ia termasuk sejumlah 166 permit polis yang diluluskan sehingga semalam.

“Setakat ini bagi tempoh 5 hingga 7 November, pihak Polis Johor telah meluluskan 297 permit yang dipohon oleh pelbagai parti yang bertanding pada PRU kali ini.

“Selain itu, kita juga turut membuka dua kertas siasatan yang kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Ibrahim berkata, justeru itu Polis Johor menasihatkan semua parti politik serta kumpulan penyokong supaya saling menghormati antara satu sama lain terutama dalam tempoh berkempen ini.

“Kita nasihatkan mereka supaya tidak melakukan kerosakan seperti mencabut atau membakar poster, banner, bendera dan kain rentang mana-mana parti politik.

“Selain itu, semua parti juga diingatkan supaya tidak memasang bendera atau apa jua bahan kempen yang boleh menghalang papan tanda lalu lintas dalam tempoh berkempen ini,” katanya.

Dalam kenyataan media sama, beliau turut menasihatkan sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul supaya segera merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dengan berlandaskan undang-undang sedia ada.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor