NELAYAN MUAR DAN TANGKAK BAKAL TERIMA LESEN SAMPAN KHAS


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan Lesen Sampan Khas kepada 108 nelayan pantai daerah Muar dan Tangkak sempena Lawatan Rasminya ke Muar / Foto Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 108 nelayan pantai di daerah Muar dan Tangkak bakal menerima lesen sampan khas selepas mereka berjaya memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abd Wahab, berkata pihaknya telah melaksanakan Program Pemutihan Lesen Vesel dan Peralatan Menangkap Ikan (Sampan) bermula November tahun lalu bagi lesen yang didapati telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

“Lanjutan daripada program pemutihan terbabit, sebanyak 775 lesen telah dibatalkan pada tahun ini yang mana program terbabit berjaya diselesaikan pada Julai lalu.

“Rentetan itu, Pejabat Perikanan Negeri Johor telah menerima permohonan lesen vesel dan peralatan menangkap ikan (sampan) daripada nelayan di beberapa daerah di negeri ini dan sebanyak 1,370 permohonan sudah diterima.

“Permohonan yang telah melepasi syarat lesen sampan khas ini disokong selepas melalui proses pemeriksaan vesel, siasatan dan sesi temuduga mengikut prosedur dan dasar yang ditetapkan oleh jabatan, sebelum diangkat untuk tujuan kelulusan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi Jabatan Perikanan Negeri Johor selepas mengikuti Program Lawatan Menteri Besar Johor Ke Daerah Muar di Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyempurnakan penyerahan bantuan peralatan kepada nelayan sampan berlesen sedia ada dan nelayan darat yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

Untuk rekod, sejumlah 521 nelayan iaitu 471 nelayan pantai dan 50 nelayan darat telah menerima manfaat daripada pelbagai bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri Johor.

Antara bantuan yang diterima oleh komuniti nelayan ialah tong insolasi, jaket keselamatan dan lampu suluh.

Bantuan secara berkala ini adalah bertujuan untuk membantu nelayan menyimpan hasil tangkapan mereka di tempat yang sesuai dan bersih demi kesegaran hasil tangkapan mereka dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi nelayan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor