POTENSI PEKAN-PEKAN KECIL DI BATU PAHAT AKAN DIBANGUNKAN


Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali mempengerusikan Taklimat Perancangan dan Potensi Pembangunan Pekan-Pekan Kecil Daerah Batu Pahat di Holiday Villa Johor Bahru / Gambar Ihsan Pejabat Daerah Batu Pahat

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Daerah Batu Pahat merancang untuk membangunkan potensi pembangunan pekan-pekan kecil yang terletak di daerah itu bagi manfaat penduduk di kawasan berkenaan secara bersama.

Menerusi inisiatif itu akan membolehkan potensi yang terdapat pada pekan-pekan kecil akan dapat diketengahkan bagi memajukan kawasan berkenaan pada masa depan.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali, berkata idea berkenaan adalah inisiatif yang dipelori pihaknya dalam usaha memastikan kemajuan dapat dibawa ke pekan-pekan kecil berkenaan.

“Tujuan taklimat ini diadakan bagi merancang potensi pekan-pekan kecil dalam daerah Batu Pahat. Taklimat ini disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan Yang Dipetua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) berkaitan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pekan-Pekan Kecil Daerah Batu Pahat.

“Kedua-dua RTD dan RKK tersebut sangat penting dalam usaha memastikan daerah Batu Pahat terus membangun, dinamik dan maju pada 2030,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Pejabat Daerah Batu Pahat.

Terdahulu Nasri mempengerusikan Taklimat Perancangan dan Potensi Pembangunan Pekan-Pekan Kecil Daerah Batu Pahat di Holiday Villa Johor Bahru.

Sesi taklimat dan perbincangan berkenaan turut dihadiri pegawai daripada Pejabat Tanah Daerah Batu Pahat dan Jabatan Plan Malaysia Negeri Johor.

Nasri berkata, bagi merealisasikan impian itu, pihaknya akan melakukan beberapa siri perbincangan khusus akan diadakan pada masa akan datang terutama berkaitan penyelarasan antara jabatan-jabatan teknikal di daerah Batu Pahat kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor