YAYASAN TM LAKSANA PROGRAM KELAS SMART TUISYEN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh bersama pengurusan TM serta pengerusi dan wakil pertubuhan kebajikan anak-anak yatim Islam | Sumber Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Empat pertubuhan kebajikan anak-anak yatim Islam bagi empat daerah di Negeri Johor dipilih bagi pelaksanaan Program Kelas Smart Tuisyen, inisiatif projek impak sosial Telekom Malaysia (TM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, kesemua pertubuhan tersebut adalah Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat.

Menurutnya, program melalui Yayasan TM itu bertujuan membantu pelajar sekolah di kalangan anak-anak yatim Islam di pertubuhan terlibat mencapai kejayaan dalam pendidikan.

“Program ini memberikan peluang kepada pelajar anak yatim Islam yang menetap di asrama pertubuhan kebajikan anak-anak yatim untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“Program ini akan fokus pada pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022 Dan 2023,” katanya menerusi siaran dimuatnaik dalam Facebook rasminya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Program Kelas Smart Tuisyen di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pontian, petang semalam.

Selain itu, Norlizah memaklumkan pihak TM turut akan membekalkan seunit komputer, seunit projektor dan talian UniFi 100 mbp untuk kegunaan kelas tuisyen.

“Diharapkan dengan program ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar yang terlibat Dan secara tidak lansung dapat mencapai kecemerlangan akademik pelajar. Terima kasih pihak TM dan kepada semua yang terlibat,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor