POTRET LUKISAN TANDA KASIH RAKYAT-ISTANA


Pelukis, Zulkifli Dahlan berjaya menyiapkan potret DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan juga Kerabat Diraja Johor setiap kali Kembara Mahkota Johor (KMJ) diadakan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

KLUANG –– ‘Pergi Ke Kedai Membeli Ikan, Membeli Ikan di Tanjung Tohor, Kasih diabadi dalam Lukisan, Khas untuk Keluarga Diraja Johor’.

 

Itulah perasaan yang dialami oleh pelukis yang berasal dari Kluang, Zulkifli Dahlan, 56, yang tanpa sekelumit rasa jemu akan berusaha untuk menyiapkan potret DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan juga Kerabat Diraja Johor setiap kali Kembara Mahkota Johor (KMJ) diadakan.

 

Zulkifli yang juga Pengasas Rumah Seni Kluang berkata, usahanya dalam menunjukkan rasa kasih dalam nuraninya kepada Institusi Diraja Johor ini ternyata berbaloi apabila Baginda Tuanku Sultan berkenan untuk menerima lukisan potret dan pada masa sama akan digantung di istana baginda.

 

Katanya, justeru setiap kali KMJ diadakan, beliau akan berazam untuk melukis potret baginda sebagai tanda ingatan dan kasihnya sebagai rakyat kepada duli tuanku selaku Sultan Johor.

 

“Paling dikenang ialah detik kali terakhir saya dapat berkesempatan mengadap Baginda Tunaku Sultan iaitu selepas Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada 2015 lalu.

 

“Ketika itu, saya berpeluang menyerahkan sendiri potret lukisan yang dihasilkan sempena Hari Kemahkotaan Baginda dan lebih memberangsangkan dan mengujakan saya secara peribadi ialah apabila tuanku bertitah ingin menggantungkan lukisan saya di dinding istana baginda,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor pada KMJ 2023 di Kluang yang turut menjadi antara lokasi persinggahan dalam rangka jelajah yang membabitkan kesemua 10 daerah di Negeri Johor.

 

Zulkifli berkata, lantaran itu menambahkan semangatnya untuk menghasilkan pelbagai karya seni menerusi lukisan dan pada masa sama menambahkan keazamannya untuk menukilkan karya seni membabitkan potret wajah Baginda Tuanku Sultan pada setiap kali KMJ diadakan.

 

“Insya-Allah kalau saya sekali lagi diberikan peluang, saya sememangnya berhasrat untuk menyerahkan secara peribadi kepada Baginda Tuanku Sultan.

 

“Setiap kali KMJ, saya akan cuba untuk siapkan lukisan potret dan Alhamdulillah saya dapat siapkan dalam tempoh tak sampai sehari untuk satu lukisan,” katanya.

 

Terdahulu, rombongan KMJ 2023 diketuai DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tiba dari Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut, Kluang.

 

Berangkat sama ialah YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Bercakap mengenai program KMJ 2023 di Paloh, Kluang, Zulkifli turut menzahirkan rasa bangga apabila Laman Kembara Paloh dipilih sebagai destinasi persinggahan acara tahunan yang disertai oleh Keluarga Diraja Johor itu.

 

“Saya dan pasukan yang terdiri daripada pelajar sekolah dan aktivis seni yang lain juga bersama-sama berganding bahu untuk mengubah wajah lorong di Pekan Paloh ini.

 

“Alhamdulillah lorong ini akan menjadi salah satu daya tarikan di daerah Kluang kerana setiap karya lukisan mural yang dihasilkan mengambarkan identiti Pekan Paloh dan Kluang serta digarap dengan keunikan Bangsa Johor itu sendiri,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor