DEMONSTRASI KUTIP BENIH POKOK HUTAN TARIKAN DI SUNGAI BANTANG


Azamuddin Kassan bersama anggota Jabatan Perhutanan Negeri Johor membuat persiapan demonstrasi memanjat dan mengutip benih pokok hutan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

SEGAMAT — Taman Eko Rimba Sungai Bantang, dekat Labis, di sini, menjadi destinasi ketiga dikunjungi rombongan Kembara Mahkota Johor 2023 bagi hari kedua.

 

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mengetuai rombongan berkenan untuk berangkat ke lokasi berkenaan.

 

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Sejurus selesai bacaan doa, Tunku Ismail berkenan menyampaikan sumbangan dan menyaksikan demonstrasi memanjat dan mengutip benih pokok hutan.

 

Dengan kepakaran dan pengalaman dimiliki, seorang anggota daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah menunjukkan demonstrasi itu dengan selamat serta jayanya.

 

Azamuddin Kassan, 54, memberitahu telah mengutip benih pokok hutan antaranya cengal, keruing, kelat dan meranti sejak berkhidmat dengan jabatan.

 

Malah beliau berharap dapat melakukan demontrasi yang sama di hadapan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sekiranya berpeluang pada masa akan datang.

 

“Pada hari ini, kali pertama saya memanjat (pokok hutan untuk demonstrasi) di hadapan Keluarga DiRaja Johor dengan mengutip benih pokok kelat di sini.

 

“Berdebar rasa apabila semua mata yang hadir melihat ke arah saya. Tetapi segalanya berjalan dengan lancar dan selamat,” katanya.

 

Azamuddin turut mengakui melakukan persediaan bersama rakan sepasukan bagi memastikan demonstrasi dilakukan berjalan dengan lancar..

 

“Walaupun ada pengalaman lebih 20 tahun memanjat pokok hutan, tetapi saya tetap melakukan persiapan untuk aktiviti hari ini dengan latihan hampir setiap hari selama seminggu.

 

“Saya menyifatkan pengalaman membuat demonstrasi di hadapan tetamu diraja dan tetamu kehormat termasuk Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai sangat berharga,” katanya.

 

Beliau memberitahu benih yang dikutip akan disemai di tapak semaian sebelum ditanam semula di dalam hutan untuk mengganti atau menambah bilangan pokok hutan di taman eko rimba.

 

Selain menyaksikan demonstrasi berkenaan, Tunku Ismail turut melepaskan benih dan pemberian makanan kepada anak ikan kelah.

 

Aktiviti lain yang disertai paduka adinda Tunku Mahkota Johor adalah menanam pokok merbau, demonstrasi menyelamat menggunakan teknik ‘high angle rescue’ oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain sesi bergambar bersama rakyat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor