TERUJA KOPITIAM DIPILIH TEMPAT PERSINGGAHAN KMJ 2023


Keluarga pemilik Restoran Paloh Railway Coffee House sangat teruja apabila dipilih sebagai destinasi persinggahan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

KLUANG –– Tiada apa yang lebih menggembirakan pemilik Paloh Railway Coffee House di sini apabila dipilih sebagai destinasi persinggahan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang diketuai DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

Pemilik kedai, K. Kartiyani, 45, berkata tanpa membuang masa, dia dan keluarganya terus melakukan persiapan sebaik sahaja mendapat tahu restoran yang diusahakannya bakal menjadi tempat persinggahan rombongan Keluarga DiRaja Johor.

 

“Saya sangat teruja, gembira dan bangga apabila mendapat tahu kedai kami dipilih sebagai lokasi persinggahan untuk KMJ kali ini. Kami sekeluarga tak pernah dapat bersalaman dengan baginda Tunku, apatah lagi Keluarga Diraja Johor yang lain.

 

“Bila kami mendapat peluang ini, semua penduduk Paloh dan pelanggan memberi semangat untuk kami buat yang terbaik pada hari ini (untuk melayani Keluarga Diraja Johor bersantap).

 

“Untuk itu, kami menyajikan santapan makanan kegemaran masyarakat di sini iaitu nasi lemak dan kopi ais kurang manis seperti yang dititah Baginda Tunku dan baginda juga sempat bertanya ini kopi dari mana?,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor hari ini.

 

Terdahulu, rombongan KMJ 2023 yang diketuai Baginda Tunku Ismail tiba dari Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut, Kluang.

 

Berangkat sama ialah YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

 

Tambah Kartiyani, program KMJ pada tahun ini akan membuka mata masyarakat tentang Pekan Paloh yang begitu sinonim dengan keharmonian pelbagai kaum.

 

“Kami di Paloh ini sangat rapat dan mesra. Kedai kami dikunjungi semua bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Inilah semangat Bangsa Johor yang ada di sini.

 

“Kami sebenarnya amat gembira bila mana rombongan KMJ masuk ke kawasan ini, sebab tak ramai yang tahu tentang apa yang istimewa dan menarik yang terdapat di pekan Paloh.” jelasnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor