Keadaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai kini lebih ceria dan selesa menerusi inisiatif kerajaan dalam melaksanakan kerja pengecatan dan penyediaan kemudahan lif baharu / Gambar MDJ | Muhamad Bayu Wira Anggara Kamarudin.

 

JOHOR BAHRU — “Alhamdulilah, inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaaan ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk khususnya golongan pesakit dan orang tua di sini, tetapi pada masa sama turut mampu memberi kesan psikologi positif kepada golongan muda di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai ini,” kata Sharifah Lubna Syed Ali.

Sharifah Lubna yang juga Ketua Blok C PPR Kempas Permai berkata, majoriti penduduk PPR terbabit sudah tinggal di rumah pangsa terbabit sejak kira-kira 14 tahun yang lalu dan inisiatif terbaharu kerajaan ini telah mengubah landskap kawasan perumahan ini.

“Jauh… sangat jauh berubah (landskap PPR Kempas Permai). Pemikiran serta tanggapan orang ramai sama ada penduduk PPR dan orang luar juga sudah lain berbanding dulu. Saya pernah menggunakan perkhidmatan ‘Grab’ untuk ke rumah saya dan bila sebut PPR Kempas Permai, orang akan anggap rumah flat yang buruk dan usang.

“Sekarang tidak lagi ada bahasa (tanggapan negatif) dan penduduk di sini sangat gembira (dengan inisiatif perubahan yang dibawa oleh kerajaan) dan budak-budak (orang muda) di PPR ini tidak rasa terpinggir dan rasa malu tinggal di sini.

“Ia sekali gus memberi kesan psikologi positif kepada golongan muda yang tinggal di sini. Apa tidaknya, keceriaan ini bukan hanya terhad kepada kerja mengecat di bahagian luaran semata-mata tetapi juga turut mencakupi bahagian pintu dan jeriji pagar kediaman penduduk,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di sini, hari ini.

Sharifah Lubna berkata, selain itu kemudahan lif baharu yang lebih terampil dan moden juga turut memberi keselesaan kepada penduduk di sini terutama penghuni yang terdiri daripada golongan warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit.

“Alhamdulillah, kerajaan banyak membantu kami termasuk mengatasi masalah lif yang kerap rosak. Di sini ramai juga yang mengalami masalah kesihatan termasuk mereka yang menggunakan kerusi roda dan juga golongan warga emas dan kanak-kanak.

“Ia sememangnya memberikan keselesaan kepada kami. Saya percaya dengan adanya kemudahan seumpama ini akan memberikan kesedaran kepada penduduk PPR Kempas Permai ini untuk menghargai kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan ini sebagai milik kami semua secara bersama,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengadakan lawatan ke lokasi PPR Kempas Permai yang mempunyai 2,252 unit rumah membabitkan tujuh blok yang masing-masing dibina setinggi 17 tingkat yang kini menempatkan kira-kira 10,000 penduduk.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor; Pengerusi Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr Hajjah Suhailizan Suliman.

Kerja pengecatan PPR Kempas Permai ini membabitkan kos RM4.8 juta dengan peruntukannya disumbangkan menerusi perkongsian dana oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaaan Persekutuan, selain kos sebanyak RM10.3 juta pula digunakan bagi pengantian 21 lif baharu di tujuh blok di perumahan pangsa berkenaan.

Sementara itu penduduk, Rosyatimah Awi, 59, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dengan isu yang dihadapi oleh penghuni PPR Kempas Permai ini.

“Alhamdulillah, memang rasa lega apabila mendapat lif baharu kerana lif lama sering rosak. Saya tinggal di Tingkat 15 dan cuba bayangkan kalau lif rosak dengan keadaan semasa diri saya yang sudah berusia… memang tak larat kalau nak menggunakan tangga.

“Bukan itu sahaja, usia kami ini pun memang ada banyak penyakit seperti darah tinggi, semput dan sebagainya. Terima kasihlah kepada pihak kerajaan kerana membantu kami demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk di sini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor