PROGRAM EZY PENGERANG MAMPU MANFAAT LIMPAHAN JS-SEZ
#Pengerang – Pengenalan Program EZY Pengerang oleh Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dijangka mampu memanfaatkan limpahan ekonomi apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjadi antara enam PBT yang dimasukkan ke dalam kawasan rancangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Program EZY Pengerang ini akan membantu MPP untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan inisiatif yang dilaksanakan oleh PBT itu, sekali gus memperkukuh mutu penyampaian serta perkhidmatan dalam menjadikan MPP sebagai organisasi yang mesra pelabur.
Selain itu, inisiatif EZY Pengerang juga menjadikan MPP sebagai sebuah PBT yang mesra pelaburan, berdaya saing dan progresif terutamanya dalam sektor berkaitan industri minyak dan gas serta juga pelancongan bertaraf antarabangsa.
Bagi tujuan itu, MPP juga turut memberi penekanan terhadap penyediaan infrastruktur digital supaya ia dapat memberi perkhidmatan yang lebih efektif kepada pelabur menerusi fasiliti terkini seperti ‘Integrated Operation Centre’ (IOC) dan smart CCTV yang akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun 2025 kelak.
Antara pendekatan lain yang akan dilaksanakan oleh MPP ialah sistem mesra pengguna, penyediaan maklumat berkaitan ketersediaan infrastruktur, data pembangunan serta prosedur permohonan yang lebih mudah diakses dan seterusnya menjimatkan masa, sekali gus dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjalankan aktiviti pelaburan di kawasan ini.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyempurnakan Majlis Perasmian Program Seminar Ezy Pengerang – Southeast Pearl of Johor di Desaru Coast Conference Centre, Kota Tinggi.
Hadir sama ialah YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta Ybhg Mohd Mackeen Mohd Shafie, Setiausaha MPP.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor