PROGRAM ‘WASTE TO WONDERS’ KUTIP 4 TAN BAHAN KITAR SEMULA


Foto Yayasan JCorp

 

#IskandarPuteri – Yayasan Johor Corporation (JCorp) terus komited dalam menyokong amalan kitar semula dan kelestarian alam sekitar selepas berjaya mengumpul empat tan bahan kitar semula menerusi program ‘Waste to Wonders’: Kitar Semula Pandu Lalu yang diadakan pada 9 Februari lalu.

 

Program yang berlangsung di B5 Johor Street Market itu turut mencatatkan pengumpulan terbesar merangkumi pelbagai bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, barang elektronik, fabrik dan minyak masak terpakai.

 

Selain itu, inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai ini juga turut memberi peluang kepada Bangsa Johor untuk menjana pendapatan sampingan dan pada masa dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan kitar semula ini.

 

Program ‘Waste to Wonders’ ini juga turut melibatkan kempen menderma dan pertukaran buku bagi meningkatkan literasi serta mempromosikan amalan penggunaan semula sumber dan mengurangkan pembaziran dengan naskah bacaan itu didermakan ke Perpustakaan Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim dan Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) bagi memperluaskan lagi akses kemudahan membaca dalam kalangan masyarakat.

 

Selain aktiviti kitar semula, program ini turut diserikan dengan penganjuran ‘Battle of Buskers’ dan memanfaatkan platform Pentas Seni Johor sebagai inisiatif penjanaan pendapatan serta menyokong persiapan menjelang Tahun Melawat Johor 2026 yang mampu memberi peluang kepada anak seni untuk menampilkan bakat sejak ia dilancarkan pada Oktober lalu.

 

Yayasan JCorp juga memupuk budaya inovasi menerusi slot ‘Upcycled Artisan Market’ yang berjaya menarik 17 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyertai slot berkenaan dengan mempamerkan hasil seni kreatif yang diperbuat daripada bahan kitar semula, selain bengkel ‘Artchemy’ membolehkan peserta mengubah bahan terpakai menjadi karya seni yang bernilai, sekali gus memartabat seni tempatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor