9 PBT DI JOHOR RAIH PENARAFAN 5 BINTANG TAHUN 2026

Bagi kategori Bandaraya, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menerima pengiktirafan lima bintang dengan markah 92.19 peratus, manakala Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pula memperoleh 90.10 peratus. | Foto Majlis Perbandaran Kulai
#IskandarPuteri – Sembilan daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor berjaya meraih penarafan 5 Bintang dalam Anugerah Penarafan Bintang PBT Tahun 2026, termasuk dua PBT yang muncul sebagai johan bagi kategori masing-masing.
Bagi kategori Bandaraya, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menerima pengiktirafan lima bintang dengan markah 92.19 peratus, manakala Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pula memperoleh 90.10 peratus.
Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) muncul johan bagi kategori Perbandaran dengan markah 96.29 peratus, diikuti Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dengan 90.64 peratus, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dengan 90.35 peratus dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dengan 90.31 peratus.
Bagi kategori Daerah, Majlis Daerah Mersing (MDM) dinobatkan sebagai johan dengan markah 95.08 peratus, manakala Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) masing-masing mencatat 91.47 peratus dan 90.24 peratus.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen serta kesungguhan seluruh warga PBT Johor dalam mempertingkatkan kecekapan pengurusan dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Penghargaan turut dizahirkan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, kepada barisan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Setiausaha, Ahli Majlis serta warga kerja 16 PBT yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan berkenaan.
Penarafan tersebut bukan sekadar berkaitan kedudukan atau jumlah bintang, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan yang lebih baik, termasuk tindakan aduan yang pantas, kemudahan awam yang terurus, persekitaran lebih bersih dan urusan rakyat yang dipermudahkan.
Pencapaian sembilan PBT bertaraf 5 Bintang itu diharap menjadi penanda aras untuk seluruh PBT di Johor agar terus memperkemas proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi dan bergerak sebagai satu pasukan demi manfaat Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



