PROJEK RTS JOHOR BAHRU-SINGAPURA CAPAI KEMAJUAN 32.4 PERATUS


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh meninjau tapak Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura di Johor Bahru, Hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura yang menghubungkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 32.4 peratus.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata berdasarkan tahap semasa kemajuan prasarana berkenaan, projek tersebut mampu disiapkan sepenuhnya menjelang 2026.

 

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembinaan projek RTS ini mengikut jadual dan kini telah mencapai kemajuan sebanyak 32.4 peratus.

 

“Infrastruktur binaan akan disiapkan sepenuhnya pada Disember 2024 manakala keseluruhan jajaran pula dijangka siap pada 2026, sebelum boleh beroperasi pada Januari 2027,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTS di Stulang Laut, di sini, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, jajaran sepanjang 4 kilometer (KM) yang merangkumi jarak 2.7 KM di Malaysia serta 1.3 KM di Singapura itu akan menghubungkan dua buah stesen iaitu Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands di Singapura selain diyakini mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan.

 

Katanya, Kerajaan Negeri Johor juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang telah bermesyuarat setiap tiga bulan sekali bagi membantu memudahkan urusan kerja-kerja pembinaan RTS ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor