KMJ TERUSKAN SINGGAH SAHUR SEMPENA RAMADAN


Kelab Media Johor (KMJ) meneruskan program Singgah Sahur buat kali kesembilan sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

 

JOHOR BAHRU — Kelab Media Johor (KMJ) meneruskan program Singgah Sahur buat kali kesembilan dengan mengagihkan juadah bersahur kepada petugas keselamatan dan kebersihan sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

 

Majlis pelepasan konvoi Singgah Sahur KMJ 2023 telah disempunakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon yang menyertai program dari awal hingga akhir.

 

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, acara tahunan bermula sejak 2015 itu sebagai menghargai sumbangan kumpulan terbabit yang bertugas ketika bulan Ramadan.

 

Menurutnya, selain itu, Singgah Sahur KMJ juga membuka ruang dan peluang kepada kira-kira 50 orang pengamal media di negeri ini, untuk menyantuni petugas keselamatan dan kebersihan.

 

“Alhamdulillah, kita telah dipertemukan dengan bulan Ramadan, yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Seperti tahun-tahun sebelum ini, KMJ meneruskan program Singgah Sahur dan kali ini memasuki kali kesembilan.

 

“Program bermula dengan edaran juadah bersahur kepada petugas SWM Environment di mercu tanda Kilometer Sifar atau 0 KM di tengah bandar raya Johor Bahru.

 

“Konvoi kemudiannya menuju ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), disusuli Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi dan lokasi terakhir iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor di Jalan Kangkar Tebrau,” katanya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh menyampaikan juadah bersahur kepada kakitangan SWM Environment.

 

 

Mohamad Fauzi berkata, sumbangan juadah bersahur kepada warga SWM Environment disampaikan kepada Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

 

“Manakala, di HSAJB, konvoi disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon bersama Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato Dr. Aman Rabu dan warga hospital.

 

“Seterusnya di PPM Wilayah Dua, kami disambut warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya polis marin dan lokasi persinggahan di sini, turut dihadiri Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat.

 

“Bagi lokasi terakhir, kehadiran konvoi diraikan oleh warga JBPM Negeri Johor diketuai Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, Mohd Rizal Buang,” katanya.

 

Sebanyak 400 pek makanan juadah bersahur disediakan untuk semua petugas keselamatan dan kebersihan termasuk ahli KMJ yang menyertai Program Singgah Sahur kali ini. Konvoi lebih daripada 10 kereta itu turut mendapat kerjasama PDRM yang bersama mengiringi rombongan Singgah Sahur.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor