PROJEK SDE, PLUS BAKAL RANCAKKAN EKONOMI JOHOR


Gambar hiasan.

 

Projek menaik taraf Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) yang dijangka akan bermula pada hujung bulan ini bakal ‘menjadi serampang dua mata’ apabila bakal memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi Malaysia, tetapi juga pembangunan iktisad Negeri Johor itu sendiri.

 

Keyakinan itu disuarakan oleh Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyifatkan kedudukan Johor yang strategik serta mempunyai potensi besar untuk menjadi hab logistik serantau perlu disokong dengan sistem pengangkutan dan jaringan jalan raya yang maju dan lengkap.

 

Justeru, projek berimpak tinggi seperti pelebaran lebuh raya menghubungkan laluan utara ke selatan serta timur negeri ini amat diperlukan kerana ia berupaya meningkatkan prestasi logistik aliran barangan dan pergerakan manusia ke Negeri Johor terutama melibatkan laluan ke pelabuhan utama yang terdapat di negeri ini.

 

Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Baginya, pelebaran lebuh raya PLUS dan SDE secara tidak langsung mendorong minat para pelabur asing untuk menanam modal di Johor memandangkan aspek pengangkutan dan rangkaian jalan raya yang sistematik merupakan salah satu komponen segmentasi penting pelaburan yang sememangnya diambil kira oleh syarikat asing.

 

Apabila siapnya projek yang diperjuangkan Kerajaan Johor itu kelak, ia bakal memudahkan syarikat berkaitan logistik bagi meningkatkan keupayaaan mereka menghantar barangan dengan lebih efisisen dan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi aktiviti ekonomi di negeri ini dijangka terus rancak sebaik sahaja Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mula dilaksanakan.

 

Bagaimanapun, kesesakan luar biasa dijangka boleh berlaku sepanjang tempoh projek lebuh raya itu dilaksanakan dan Safizahanin turut mencadangkan supaya kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan tidak dijalankan pada musim cuti perayaan atau hari kelepasan am bagi mengelak berlakunya kesesakan luar biasa, selain perlu menggunakan teknologi terkini bagi mengawal aliran trafik dan penyediaan laluan alternatif.

 

Fasa pertama projek menaik taraf lebuh raya PLUS bermula dari Senai (Utara) ke Sedenak membabitkan jarak sepanjang 21.8 kilometer (KM) melibatkan peruntukan sebanyak RM525 juta itu dijangka siap pada Jun 2027, manakala fasa kedua dari Sedenak ke Simpang Renggam sejauh 16.6KM pula bakal siap sepenuhnya pada suku keempat 2028.

 

Sementara itu, projek pelebaran lebuh raya SDE yang bernilai RM160 juta pula akan melibatkan laluan bermula dari jambatan Sungai Johor ke Sungai Semenchu yang dijangka akan siap menjelang Disember 2026.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor