ISU SETINGGAN KAMPUNG PETANI SELESAI


Kerajaan Negeri bantu penduduk Kampung Petani, Batu Pahat dengan menawarkan kediaman Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Bukit Perdana 2. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Intervensi Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan isu penempatan Kampung Petani melibatkan 47 keluarga yang menerima notis pengosongan daripada pemilik tanah setelah hampir 40 tahun mendiami kawasan terbabit, akhirnya berjaya menemui penyelesaian.

 

Susulan perbincangan secara bersepadu bersama pelbagai pihak terlibat, BH Ng Construction Sdn. Bhd. selaku pemilik tanah bersetuju memberikan wang pampasan berjumlah antara RM13,000 hingga RM14,000 kepada setiap keluarga di kampung itu.

 

Pada masa yang sama, kesemua keluarga terlibat turut ditawarkan kediaman Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Bukit Perdana 2 yang kini sudah hampir 60 peratus siap dibina dan penyerahan kunci dijangka disempurnakan pada suku ketiga atau keempat tahun hadapan.

 

Kejayaan menyelesaikan isu Kampung Petani bertitik tolak tindakan proaktif Kerajaan Negeri mengarahkan Pejabat Daerah Batu Pahat dan Pejabat Tanah Batu Pahat melakukan pemprofilan serta rundingan bersama pihak berkaitan selepas penduduk menerima notis pada tahun 2022.

 

Isu yang turut mendapat perhatian dan diperjuangkan wakil-wakil rakyat di Batu Pahat itu berikutan pemilik mahu mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan di samping masalah banjir kilat yang telah membelenggu dan kerap berlaku di kawasan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan Penyerahan Surat Tawaran bagi Penyelesaian Pendudukan Kampung Petani melalui RMMJ Taman Bukit Perdana 2 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat, hari ini.

 

Turut hadir, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor; YBhg. Zainor Adani, Pegawai Daerah Batu Pahat; YBhg. Ezahar Abu Sairin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat serta YBhg. Dr Mohd Shahrizan Sahid, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor