MERIAHKAN JOHOR YOUTH MEETUP BY OMJ
Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) akan menganjurkan ‘Johor Youth Meetup By OMJ’ yang menjadi himpunan Orang Muda Johor (OMJ) terdiri daripada belia berpersatuan mahupun tidak dari seluruh negeri ini, bertempat di Kompleks Sukan Educity pada 9 Jun ini.
Lebih istimewa, program yang menyediakan pelbagai acara serta aktiviti menarik itu bakal diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, watak penting dalam membangun dan memperkasakan golongan belia di Negeri Johor.
Memetik kenyataan dimuat naik oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor dalam Facebook rasminya, penganjuran ‘Johor Youth Meetup By OMJ’ telah dipersembahkan kepada DYAM Pemangku Sultan Johor.
Antara pengisian program tersebut adalah audio siar atau podcast OMJ, sesi soal jawab dan Bicara Orang Muda dengan barisan pempengaruh dan belia-belia yang berjaya, karnival kerjaya, ‘autoshow’ motosikal dan kereta, persembahan artis terkenal tanah air serta pameran jati diri Bangsa Johor.
Selain itu, ‘Johor Youth Meetup By OMJ’ turut menyediakan ‘Sports Corner’ dengan menampilkan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Jewels, ragbi dan atlet anak Johor di mana pengunjung dapat bertemu dalam sesi ‘meet and greet’ yang diadakan di samping mendengar dan menyaksikan siaran ‘sport podcast’.
Terdahulu, Mohd Hairi mengiringi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadap DYAM Pemangku Sultan Johor bagi berdatang sembah mempersilakan Baginda berangkat ke program ‘Johor Youth Meetup By OMJ’. Turut hadir, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan).
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor