PROJEK UDANG PUTIH KPRJ PERKUKUH INDUSTRI AKUAKULTUR JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan pelepasan benih udang putih bagi projek rintis berkenaan di Kolam Inkubator Fasa III, Gelang Patah. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) melaksanakan Projek Rintis Penternakan Udang Putih bagi fasa pertama melibatkan peruntukan RM1.6 juta sebagai menyokong agenda keterjaminan makanan Johor.

 

Projek dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Johor itu dijangka mula menuai hasil selepas Ogos depan seterusnya membantu peningkatan pengeluaran udang akuakultur di negeri ini dengan anggaran 38,000 tan metrik menjelang tahun 2027.

 

Selain memperkukuh kedudukan Johor sebagai ‘food basket’ utama negara, projek berkenaan berpotensi membuka ruang kepada golongan B40 menyertai sektor akuakultur melalui latihan dan pembangunan usahawan yang disediakan.

 

Turut menyokong aspirasi negeri ke arah pertanian moden dan berimpak tinggi, projek yang terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ) itu juga berpotensi menjadi hab ternakan akuakultur strategik.

 

Model penternakan udang putih itu diperkenalkan sebagai usaha membangunkan perniagaan agro yang mampan, berdaya saing dan menawarkan pulangan tinggi berikutan permintaan pasaran sepanjang tahun.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan pelepasan benih udang putih bagi projek rintis berkenaan di Kolam Inkubator Fasa III, Gelang Patah, hari ini.

 

Turut hadir, YB Dato’ Lukman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ; YBrs. Tuan Haji Yosri Mohd, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor; YBrs. Encik Abdul Hakim Abdul Karim, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor serta YBhg. Datuk Abdul Aziz Sapian, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Johor Bahru Selatan.

 

#AgendaKeterjaminanMakanan

#SekuritiMakananJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor