600 BUNGKUSAN MAKANAN DIAGIHKAN KEPADA GOLONGAN SASAR DI BATU PAHAT


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail menghadiri Projek Komuniti Di Hati Tahun 2023 Daerah Batu Pahat pada 14 dan 15 Julai 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 600 bungkusan makanan disiapkan secara bergotong royong oleh sekumpulan ibu tunggal untuk diagihkan kepada golongan sasar sempena Projek Komuniti Di Hati Tahun 2023 Daerah Batu Pahat pada 14 dan 15 Julai lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kesemua bungkusan makanan itu diagihkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR), Ahli Isi Rumah (AIR) eKASIH, asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40.

 

“Bungkusan makanan diagihkan oleh Ketua Kampung Lubok Darat, Mohd Jayus Tumiran, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat merangkap Pengerusi Southern Volunteer Daerah Batu Pahat, Ezahar Abu Sairin, para sukarelawan Southern Volunteer dan orang kampung Lubok Darat kepada para penerima.

 

“Mereka (penerima) adalah 60 orang KIR, 240 AIR eKASIH, asnaf, ibu tunggal, dan B40 daripada Kampung Lubok Darat, Kampung Lubok Tengah dan Kampung Lubok Laut, Semerah, Batu Pahat,” katanya.

 

Khairin-Nisa berkata, turut diadakan penyampaian inisiatif bantu keluarga dan masyarakat (I-BERKAT) bagi daerah Batu Pahat yang memberi manfaat kepada 18 orang penerima.

 

Ujarnya, antara barangan yang disampaikan adalah kerusi roda ringan, kerusi roda biasa, tongkat empat kaki beroda, tilam angin, dan susu omega, lampin pakai buang dewasa.

 

“Semoga usaha kerajaan negeri ini dapat mencapai objektif dan memberi impak positif kepada Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor