REZEKI BANJIR


Penduduk Felda Sri Jaya, Mohd Faris Mohd Shahril (tengah) bersama rakan-rakannya memasang jaring untuk menangkap ikan dan udang sesat di ladang kelapa sawit yang digenangi air banjir di tanah rancangan berkenaan / Gambar Badrul Kamal Zakaria.

 

TANGKAK — Dalam susah ada senang dan setiap musibah yang berlaku pasti hikmah yang berselindung disebaliknya tanpa disangka.

Itulah realiti yang berlaku di Felda Sri Jaya apabila bencana banjir akibat limpahan air dari Sungai Muar turut memberikan rezeki yang tidak disangka apabila banjir yang berlaku di sekitar ladang sawit di situ memberikan rezeki yang lumayan.

Beberapa penduduk terutama anak muda di tanah rancangan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk turut memasang jaring bagi menangkap pelbagai spesies hidupan akuatik ‘tersesat’ berkenaan.

Penduduk, Mohd Faris Mohd Shahril, berkata beliau bersama rakannya turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ‘habuan banjir’ berkenaan yang secara kebetulan berlaku ketika musim cuti sekolah.

“Saya bersama rakan-rakan mengambil kesempatan meluangkan masa untuk menjaringkan ikan di kawasan ladang tidak jauh dari rumah yang turut digenangi air akibat limpahan dari Sungai Muar.

“Kami menggunakan jaring yang dipasang dengan merentangi antara satu pokok kelapa sawit dengan pokok yang lain di kawasan aliran air masuk. Alhamdulillah, banyak juga tangkapan yang kami perolehi pada hari ini,” katanya kepada Media Digital Johor (MDJ).

Tinjauan MDJ di lokasi terbabit mendapati meskipun kawasan itu mengalami banjir tetapi keadaannya tidak seteruk di lokasi lain, namun ia tetap digenangi air sedalam kira-kira dua meter.

Malah, penduduk lain turut mengambil kesempatan untuk turut sama memasang lukah, bubu, taut dan beberapa peralatan menangkap ikan yang lain untuk dijadikan makanan untuk keluarga masing-masing terutama ketika musim sukar ini.

Mohd Faris berkata, antara tangkapan ikan yang diperolehi ialah ikan baung, keli, puyu, duri, lais, toman dan kelah, selain beberapa spesies udang iaitu udang galah.

“Semua tangkapan ini akan dikongsi bersama kami untuk dibawa pulang ke rumah sebagai hidangan makan malam bersama keluarga nanti.

“Lebihan daripada tangkapan ikan dan udang ini juga turut dikongsikan bersama rakan-rakan penduduk di Felda ini. Lagi pun ini adalah sebahagian kerja secara bersama anak muda di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, meskipun sudah terbiasa dengan selok belok di kawasan ini kerana sudah menjadi seperti ‘taman permainan’ sejak dari kecil, aspek keselamatan masih diutamakan.

Katanya, walaupun semua memiliki kemahiran berenang namun peralatan seperti jaket keselamatan masih turut digunakan sebagai langkah berwaspada selain hanya menjaring di kawasan terbuka yang tidak jauh daripada penglihatan penduduk lain.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor