RM1.57 JUTA PERUNTUKAN BERSIH PARIT, LONGKANG


TPr. Iskandar Suparlan, Ketua Jabatan Perancang Bandar dan Landskap Majlis Perbandaran Kluang menunjukkan kawasan kerja-kerja pembersihan dan menaik taraf longkang. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Majlis Perbandaran Kluang (MPK) memperuntukkan sejumlah RM1.57 juta bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan menaik taraf longkang dalam usaha mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan hotspot yang dikenalpasti.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.35 juta diperuntukkan bagi projek menaik taraf sistem saliran dan jalan raya melibatkan beberapa kawasan yang sering dilanda banjir kilat terutama di Jalan Adam Hussein, Taman Ilham, Jalan Dahlia dekat Kampung Melayu, Pasar Borong Kampung Gajah, serta outlet Tasik Puteh di Dataran Tasik Kluang.

 

Selain itu, TPr. Iskandar Suparlan, Ketua Jabatan Perancang Bandar dan Landskap MPK juga menjelaskan pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja menyelenggara longkang monsun dan longkang utama di kawasan pentadbiran MPK menerusi peruntukan RM222,720 pada tahun ini.

 

Taburan hujan luar jangka sehingga menyebabkan banjir kilat di sesetengah kawasan telah mendorong kerja keras MPK sehingga berjaya mengambil tindakan menyelesaikan sebanyak 18 daripada 22 kawasan hotspot banjir kilat meliputi Kampung Palembang, Kampung Sri Tambak dan Jalan Mersing.

 

Kerja-kerja pembersihan sungai dan longkang telah mengurangkan masalah banjir di kawasan berkenaan manakala baki empat kawasan melibatkan Jalan Talapia, Taman Indah Jaya, Jalan Teratai dan Jalan Kampung Melayu, Lorong 2 Kampung Baru serta Jalan Semberong Utama akan diselesaikan dalam masa terdekat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor