MENTERI BESAR JOHOR TURUN PADANG BERSIHKAN MASAI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, turun padang melaksanakan aktiviti pembersihan sekitar kawasan Masai, dekat Pasir Gudang | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, turun padang melaksanakan aktiviti pembersihan sekitar kawasan Masai, dekat Pasir Gudang.

 

Turut bersama beliau, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor serta Datuk Bandar Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abd Rahman.

 

Aktiviti pembersihan yang bermula seawal jam 6.40 pagi itu bertujuan memastikan kawasan tumpuan awam bersih dan selesa untuk digunakan.

 

“Menjadi tekad saya agar aktiviti sebegini dapat diteladani dan kita sebagai Bangsa Johor sama-sama menanam azam untuk mengekalkan kebersihan kawasan persekitaran masing-masing.

 

“Kebersihan itu bukan sahaja sebahagian daripada iman, malah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kebersihan negeri Johor secara menyeluruh pada kaca mata orang luar juga,” katanya.

 

Onn Hafiz turut menzahirkan harapan supaya pelbagai pihak khususnya Bangsa Johor dapat menjayakan inisiatif Johor Bersih seterusnya bersama merealisasikan misi agenda Maju Johor.

 

“Harapan saya agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan seluruh rakyat Johor akan terus memainkan peranan bagi menjayakan agenda Johor Bersih, yang dapat meningkatkan imej Johor kepada para pelabur dan pelancong.

 

“Kerajaan negeri akan terus memantau tahap kebersihan serta pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di negeri ini, dalam membantu mencapai visi status negeri maju menjelang 2030 sekali gus memastikan kesejahteraan hidup Bangsa Johor pada masa hadapan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor