RM909,700 LAKSANA TEBATAN BANJIR SUNGAI MELANTAI


Sungai Melantai, Kluang. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Penyelesaian masalah banjir, sama ada disebabkan oleh Monsun Timur Laut (MTL) atau berpunca dari taburan hujan luar jangka yang melanda beberapa lokasi di daerah ini, sentiasa menjadi keutamaan Pejabat Daerah Kluang termasuk memastikan pembangunan dirancang mengutamakan kelestarian alam sekitar.

 

Bagi Mohd Faiz Mohd Salleh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Kluang, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kluang yang telah memperuntukkan RM909,700 bagi memudahkan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak bencana itu.

 

Peruntukan signifikan tersebut melibatkan kerja-kerja pengukuhan tebing di Sungai Melantai, sungai utama daerah berkenaan yang juga merupakan salah satu hotspot banjir di sekitar kawasan Kampung Bentong, selain membina sistem saliran lebih baik dan memasang perangkap pencemaran kasar di sepanjang lembangan sungai tersebut.

 

Menyentuh mengenai pengurusan banjir, Mohd Faiz menyifatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dipengerusikan YBhg Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Daerah Kluang sentiasa menerima kerjasama baik dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan wang ehsan dapat disalurkan bagi mengurangkan beban mangsa.

 

Selain itu, gemblingan tenaga antara Pejabat Daerah Kluang dan agensi berkaitan telah memastikan tindakan proaktif dapat diambil bagi agar setiap aspek pengurusan bencana banjir dapat dikendalikan secara sistematik dan lancar supaya tiada mangsa yang tersisih daripada dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selain bantuan pembersihan pasca banjir.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor