RUMAH TRANSIT MAINJ PELIHARA NASIB ASNAF

Sohibus Samahah YB Dato’ Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor (kanan) menyerahkan kotak sumbangan kepada penerima serta menyempurnakan perasmian Rumah Transit Asnaf MAINJ di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) komited membela nasib rakyat khususnya golongan asnaf, miskin tegar dan mereka yang menghadapi krisis kediaman atau kehilangan tempat tinggal dengan menyediakan rumah transit.
Diwujudkan sejak tahun 2014, Rumah Transit Asnaf MAINJ merupakan inisiatif penyelesaian sementara kepada individu atau keluarga yang sedang berhadapan kesukaran mendapatkan tempat tinggal.
Meskipun bukan penyelesaian jangka panjang, inisiatif dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) itu berfungsi sebagai ruang perlindungan sementara dengan penyediaan tempat tinggal yang selamat, bersih dan teratur.
Sehingga kini, sebanyak 91 unit rumah transit berjaya diwujudkan bagi membantu penghuni melibatkan daerah Johor Bahru, Segamat, Tangkak, Muar dan Mersing termasuk 63 orang yang masih menghuni kediaman berkenaan.
MAINJ yang menanggung sepenuhnya pembiayaan sewa dan utiliti rumah transit itu memberikan tempoh selama tiga bulan kepada penghuni, namun lanjutan tempoh masa diberikan jika belum berjaya memperoleh tempat tinggal tetap dan berdasarkan penilaian kes.
Terdahulu, Sohibus Samahah YB Dato’ Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Negeri Johor menyempurnakan perasmian Rumah Transit Asnaf MAINJ di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram. Turut hadir, YBhg. Tuan Hasrin Kamal Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ.
Pada majlis sama, MAINJ turut menyalurkan bantuan sewaan rumah PPR dengan kadar sewaan serendah RM65 sehingga maksimum RM250 sebulan kepada 371 penghuni PPR melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM605,366.
Selain itu, bantuan lain disampaikan adalah bantuan sewa rumah PPR berjumlah RM3,000 setahun, sara hidup (RM9,000) setahun, dana niaga peralatan (RM10,000), dana niaga modal (RM12,474) dan ubat khas pesakit kanser (RM38,634) masing-masing kepada seorang penerima.
#MAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor