BERI MASA DAN SOKONGAN DEMI BOLA SEPAK NEGARA

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ditemui media selepas berangkat menyertai sesi sidang media bersama Peter Cklamovski, Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang diadakan di Double Tree by Hilton Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Tokoh revolusi bola sepak negara, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah agar semua pihak perlu terus memberi masa, ruang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha untuk membangunkan bola sepak tanah air yang kini sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kejayaan signifikan akan dapat dicapai pada masa akan datang.

 

Baginda bertitah, justeru untuk mencapai kejayaan pada masa depan, pembangunan bola sepak negara tidak wajar hanya bergantung kepada kepakaran tempatan semata-mata, tetapi sebaliknya turut memerlukan pendekatan lain seperti berkolaborasi bersama tenaga pakar dari luar negara terutama dari sudut perkongsian kepakaran ilmu bertaraf antarabangsa sebagaimana yang sudah dibuktikan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Menyentuh mengenai pembangunan jurulatih tempatan, Pemilik JDT itu turut mengiktiraf nama-nama bakat tempatan seperti Aidil Zafuan, Nafuzi Zain dan Hairuddin Omar yang disifatkan memiliki potensi besar untuk digilap di bawah struktur baharu sistem pengurusan skuad Harimau Malaya yang secara tidak langsung menterjemah falsafah yang cuba diterapkan daripada usaha Malaysia untuk memantapkan barisan jurulatih tempatan.

 

Baginda juga bertitah menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang dilihat cuba mensabotaj kemajuan bola sepak negara yang sedang dicapai dengan mencipta naratif yang tidak berasas serta menganggap tindakan menyerang individu atau kelab seperti JDT hanya akan merencatkan proses transformasi sukan berkenaan yang sedang diusahakan.

 

Selain itu, Pemangku Sultan Johor turut menzahirkan komitmen 100 peratus untuk terus menyokong bola sepak tanah air melalui program pembangunan di JDT serta kerjasama erat dengan pasukan kebangsaan, selain meminta semua pihak supaya sentiasa bersikap profesional dan sedia berubah demi masa depan sukan nombor satu negara ini.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ditemui media selepas berangkat menyertai sesi sidang media bersama Peter Cklamovski, Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang diadakan di Double Tree by Hilton Johor Bahru, hari ini.

 

Skuad Harimau Malaya kini sedang menjalani latihan fasa pertama di Johor Bahru bermula hari ini sebagai persiapan awal sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun depan.

 

#WTN
#TMJ
#HarimauMalaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor