SAHABAT MARITIM KUNJUNGI KOMUNITI NELAYAN ORANG ASLI


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengadakan lawatan muhibbah bersama komuniti nelayan Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah / Foto Ihsan Maritim Malaysia.

 

ISKANDAR PUTERI — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor mengadakan lawatan muhibbah bersama komuniti nelayan Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata kunjungan itu dilakukan bagi mengeratkan ikatan silaturahim antara pasukan pihak berkuasa keselamatan maritim itu dengan masyarakat Orang Asli.

“Selain itu, objektif lawatan ini juga bertujuan untuk menyelesaikan isu nelayan di kawasan Sungai Pulai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan beramah mesra bersama komuniti berkenaan.

“Pada kunjungan ini, kita turut mengadakan aktiviti taklimat ‘Preventif Search and Rescue (SAR)’, sesi dialog, penyerahan jaket keselamatan dan perlawanan bola sepak persahabatan antara Maritim Malaysia dan komuniti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mengadakan kunjungan ke Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Pengarah Maritim Malaysia Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh.

Turut hadir ialah Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Superintendan Noor Azman Kamal dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor, Faisal Long.

Nurul Hizam berkata, menerusi program yang turut mendapat kerjasama dengan Jabatan Perikanan Negeri Johor dan Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan ini diharapkan akan mewujudkan hubungan baik antara agensi kerajaan itu dengan penduduk di kawasan berkenaan kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor