SOP, TEMPOH BERTINDAK DAN BANTUAN BEKALAN DITAMBAHBAIK


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika meninjau lokasi kejadian paip pecah di Persiaran Seri Alam | Sumber Facebook Noor Azleen Ambros.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memohon maaf kepada penduduk dan sektor perniagaan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak terancang susulan kejadian paip pecah di Persiaran Seri Alam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, masalah tersebut berlaku di luar jangkaan berikutan kerja teknikal dijalankan, namun percaya tempoh bertindak selain terbitan jadual bantuan bekalan mesti diperbaiki sekiranya kejadian seumpama itu berulang.

“Kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air sama ada untuk kegunaan seharian rakyat mahupun sektor industri.

“Insha Allah, prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak dan ditambahbaik agar bekalan air terawat akan terus dapat disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah berbincang dan meminta jasa baik pihak Ranhill SAJ untuk melihat kepada kaedah pemberian rebat kepada pengguna yang terkesan supaya dapat mengurangkan beban dihadapi.

Selain itu, beliau turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada keluarga DiRaja Johor atas keprihatinan terhadap cabaran dihadapi oleh penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak terancang itu.

“Patik mengambil kesempatan ini untuk Menjunjung Setinggi Kasih kepada DYMM Tuanku Sultan Johor, DYMM Tuanku Permaisuri Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor atas keprihatinan keluarga DiRaja Johor di atas perkara ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Fazli Salleh serta semua agensi dan organisasi yang telah banyak membantu dan menyalurkan bekalan air secara alternatif,” katanya.

Antara agensi dan organisasi tersebut adalah Yayasan Raja Zarith Sofiah; Ranhill SAJ; Angkatan Tentera Malaysia; Persatuan Bulan Sabit Merah; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Selain itu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang; Majlis Bandaraya Johor Bahru; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; agensi-agensi dari luar Johor serta pihak swasta.

Pada 4 November lalu, Ranhill SAJ memaklumkan bekalan air di semua kawasan terjejas pulih sepenuhnya selepas berlaku gangguan tidak terancang akibat kejadian paip pecah di Persiaran Seri Alam sejak 28 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai tindakan intervensi telah diambil antaranya penghantaran menerusi lori tangki, penyediaan tangki statik, pengolahan sistem bekalan air serta mewujudkan ‘filling point’ berkapasiti besar.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor